
Pernah dengar slogan tengok TV dengan iman?




Artikel dari Ustaz Pahrol ini amat menarik dan mungkin akan terpalit betul-betul di dahi majoriti orang Melayu kita yang sibuk dengan kempen boikot dan demonstrasi yang kononnya menunjukkan gelagat tidak puas hati terhadap Israel. Kami kongsikan artikel ini untuk bacaan pembaca Oh! Islam yang berminat (nyata tiada paksaan).
**********
Setelah pulang daripada demonstrasi anti-Yahudi, seorang Pak Cik berbual dengan saya sewaktu sama-sama menunggu giliran mendapat rawatan di sebuah klinik.
“Puas hati. Kami dah bakar bendera Israel. Hancur luluh dibuatnya. Gambar PM Israel pun banyak yang kami robek-robekkan. Kalaulah tidak mengenangkan undang-undang, kami dah bakar kedutaan Amerika. Tapi kami masih rasional.”
Saya mengangguk-angguk kepala sahaja.
“Tel Aviv akan bergegar minggu ini dengan demonstrasi oleh seluruh dunia Islam. Dijangka banyak lagi siri demonstrasi akan diatur minggu hadapan. Awak jangan lepas peluang.”
Saya mengangguk kepala. Mungkin kerana demam, saya banyak diam. Lagipun saya telah berjanji pada diri, dalam berinteraksi perlu menjadi pendengar.
“Eh, awak tidak ada respons langsung. Baru demam sikit… janganlah begitu. Rakyat Palestin dibom, ditembak dan disekat bekalan makanan dan keperluan. Itu lagi teruk.”
Kali ini saya senyum. Saya bersuara perlahan, “saya sokong tindakan Pak Cik dan demonstrasi menyatakan pendirian kita menentang kekejaman Yahudi.”
“Bagus. Suara saya serak melaungkan takbir semalam. Dada ni sakit-sakit sejak akhir ni.”
“Kenapa Pak Cik?”
“Rokok dik. Semuanya fasal rokok ni.”
“Pak Cik hisap rokok apa?” saya mula teruja untuk berbual.
“Masih Winston. Dah sebati sejak dulu.”
“Winston from America?” bisik saya perlahan.
Kali ini Pak Cik tu pula mengangguk-angguk.
“Sakit-sakit Pak cik pun masih kuat berdemonstrasi. Apa pandangan adik tentang demonstrasi ini?” kilasnya mengalih arah perbualan.
“Ada langkah yang lebih utama dan pertama daripada itu,” tegas saya.
“Apa dia?”
“Solat Subuh berjemaah.”
“Kita cakap bab jihad, awak bercakap bab ibadat.” Muka pak Cik itu mula memerah. Tangannya mula digenggam.
“Jihad dan ibadat tidak terpisah. Bahkan ibadat itulah yang akan membangunkan roh jihad yang sejati.”
“Kita mesti sanggup memikul senjata.”
“Betul. Tetapi kuakkan dulu selimut menutup umat yang masih tidur menjelang Subuh.”
“Saya tak faham.”
“Pak Cik, Israel mesti ditentang menurut kaedah yang menyakitkan mereka.”
“Apa yang menyakitkan mereka?”
“Mereka bimbang sekiranya bilangan orang Islam yang solat subuh berjemaah sama dengan bilangan orang Islam yang solat Jumaat! Ini diakui oleh cerdik pandai mereka sendiri.”
“Jadi?”
“Sebaik-baik ‘demonstrasi’ ialah didik umat ini bersolat Subuh secara berjemaah di surau-surau dan masjid. Solat itu hubungan kita dengan Allah. Jangan harap musuh akan kalah, kalau Allah tidak bantu kita. Lihat di Badar, lihat di Khandak, bagaimana Rasulullah saw dan sahabat akrab dengan Allah. Lihat pula Salehuddin, lihat pula Muhammad al Fateh, bagaimana teguhnya mereka menjaga solat dan ibadat-ibadat khusus yang lain.”
Hampir terlupa saya pada janji diri untuk lebih mendengar. Saya menarik nafas panjang. Kembali merenung Pak Cuik tersebut dengan senyuman.
“Awak rasa bakar bendera Israel tak perlu? Mana kemarahan awak?”
“Bakar bendera Israel boleh saja. Ayuh, bakarlah. Tetapi jangan membakar rokok Amerika dan sekutu Yahudi yang lain lebih perlu. Cukup kalau sebulan sahaja umat Islam berhenti merokok, mungkin jumlahnya sudah berjuta-juta ringgit. Dan wang yang terkumpul itu hantarkan ke misi bantuan kemanusiaan ke Gaza!”
“Awak sindir saya?”
“Pak Cik saya tidak menyindir. Kebanyakan umat Islam, termasuk saya, hanya bencikan Yahudi pada mulut sahaja tetapi pada tindakan tidak.”
“Saya dah bertindak. Saya dah demonstrasi!”
Lagi-lagi ke situ fikirnya.
“Pak Cik dalam Al Quran, Allah tegaskan orang Yahudi itu tidak akan redha selagi kita umat Islam tidak mengikut cara hidup mereka.”
“Siapa kata kita ikut cara hidup mereka?”
“Pak Cik, lihat betul-betul. Apakah masyarakat kita telah bangunkan cara hidup Islam?”
“Kita orang Islam. Cara hidup kita mesti Islam.”
“Tidak Pak Cik. Ramai umat Islam yang tidak amalkan cara hidup cara Islam.”
“Contoh?”
“Dedah aurat, pergaulan bebas, riba, judi, arak, tinggal solat, budaya hedonisme dan dualisme masih berakar umbi dalam masyarakat kita. Lihat sahaja unsur tahyul, mistik, seks bebas dan gosip yang mendominasi media-media umat Islam. Tidak ikut cara hidup Islam bererti terperangkap dengan cara hidup isme kapitalis, sosialis mahupun liberalis.”
Pak Cik itu terkejut sedikit, lantas menyampuk, “mana Yahudinya. Awak kata Yahudi, tapi yang awak sebut golongan hedonis, liberalis, kapitalis dan sosialis?”
“Ketiga-tiga isme itu sama.”
“Sama?”
“Kesemuanya dicipta oleh golongan yang sama… ZionisYahudi!”
“Jadi demonstrasi ini tidak berfaedah?”
Saya menggeleng-gelengkan kepala perlahan.
“Ada faedahnya. Tetapi ia bermusim dan agak bersifat agak artifisial. Kita perlu agenda yang konsisten dan ‘genuine’.”
“Misalnya?”
“Ajak orang Islam serius solat lima waktu dengan penghayatannya sehingga dengan solat itu mampu meninggalkan kejahatan dan kemungkaran.”
“Lagi?”
“Tinggalkan riba, judi, arak dalam kehidupan umat Islam. Wanita Islam didakwah dan ditarbiah secara berhikmah untuk menutup aurat dalam ertikkata sebenar dan tinggalkan pergaulan bebas!”
“lagi?”
“Pak Cik, cara hidup Islam itu terlalu banyak. Dengan mengamalkannya satu persatu kita boleh ‘berdemonstrasi hari-hari’ terhadap atas Yahudi. Bila kita boikot cara hidup berseronok-seronok yakni hedonisme, ertinya kita boikot cara hidup Yahudi yang disalurkan melalui dalang-dalang mereka di Holywood.”
“Idola Amerika?”
“Ya. Juga idola kita yang meniru persis mereka. Bangsa yang leka berhibur akan mudah dijajah.”
Pak Cik itu batuk-batuk.
Saya urut belakangnya.
“Dah lama Pak Cik batuk? Berhentilah atau kurangkan perlahan-lahan ya Pak Cik?” kata saya seakan-akan merayu.
“Semangat Pak Cik kuat, saya doakan Pak Cik berjaya. Amin.”
“Tak terfikir pula saya begitu jauh kita dibius oleh cara hidup musuh yang kita benci.”
“Kadang-kadang musuh ketawa melihat kemarahan kita. Bangunkan remaja kita untuk solat subuh berjemaah, Yahudi akan sakit hati. Tutup aurat remaja perempuan kita, Yahudi akan sakit hati. Tinggalkan riba, judi, arak, pergaulan bebas, insya-Allah, Yahudi akan gigit jari.”
“Tetapi kalau cara hidup kita mengikut telunjuk jari mereka, Zionis akan ketawa sekalipun berlambak-lambak bendera mereka kita dibakar. Jeritan Allah hu Akbar dalam demonstrasi itu baik, bersemangat tetapi ucapan takbir dalam solat lima waktu lebih besar maknanya. Apakah Allah akan nilai laungan Allah hu Akbar daripada umat yang tidak solat? “
“Eh, kami yang demonstrasi semua solat…”
“Bukan itu maksud saya. Tetapi seluruh umat Islam ini. Saya risau kerana ada kajian menunjukkan 80% umat Islam sudah tidak solat. Itu yang tidak solat langsung. Bayangkan pula yang solat tanpa ilmu, tanpa penghayatan dan tanpa khusyuk? Jadi berapa kerat umat ini yang benar-benar kompeten menghadapi Zionis dalam erti kata sebenar?”
Giliran Pak Cik itu tiba. Dia melangkah perlahan menuju bilik rawatan. Ditinggalkan sendirian begitu, saya lontarkan pandangan ke luar klinik. Terus merenung dan berfikir. Masih terbayang wajah pemimpin-pemimpin dan para pengikut yang ramai dalam demonstrasi seperti yang dipaparkan di dada akhbar dan di kaca televisyen. Alangkah indahnya jika demonstrasi dibuat seusai solat Subuh berjemaah dan sebelum itu didahului oleh qiamulail dan qunut nazilah?
Dan kemudian setelah selesai berdemonstrasi, para pemimpin dan ribuan pengikutnya itu terus sahaja mengamalkan cara hidup Islam dalam diri, keluarga, jabatan, unit, organisasi, masyarakat dan bahagian masing-masing. Bukan hari itu sahaja… tetapi hari-hari. Setiap hari!
Ah, bagaimana umat ini hendak disedarkan bahawa mengamalkan cara hidup Islam itulah cara penentangan yang paling dibenci oleh Yahudi? Firman Allah:
“Sekali-kali tidak redha orang Yahudi dan Nasrani sehingga kamu mengikut millah (cara hidup) mereka.”
Dan alangkah baiknya jika jeritan Allah hu Akbar, dibuktikan dengan penegakan hukum Allah dalam seluruh sistem kehidupan sekali gus ‘mengecilkan’ pandangan akal sendiri dalam menyusun dan mengatur kehidupan ini?
Sumber: http://ohislam.com/demonstrasi-anti-yahudi-yang-nyata-sia-sia/

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,
Mimbar Jumaat tidak akan sekali-kali berasa jemu untuk menyeru kita semua agar meningkatkan ketaqwaan kepada Allah swt. Dengan melaksanakan segala perkara yang Allah cintai dan menjauhi segala perkara yang Allah benci. Sesungguhnya hakikat kekuatan seorang yang beriman itu bukan pada harta dan fizikal tetapi pada hati dan ketaqwaan. Orang munafik dan kafir berbangga dengan dunia fizikal yang sementara tetapi umat yang beriman merasa izzah dan mulia dengan iman dan ketaqwaan.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Mimbar Jumaat hari ini, ingin menarik perhatian kita semua tentang penderitaan dan perjuangan yang dialami rakyat Palestin.
Pada tahun1987, 4 orang pekerja Palestin telah ditembak secara kejam di khalayak ramai secara sengaja oleh askar-askar regim Zionis. Peristiwa ini telah menyebabkan bangkitnya api kesedaran dan perjuangan rakyat di awal dekad tahun 2000. Bermula dengan demonstrasi kecil seterusnya menjadi pertempuran dengan penuh ruh keberanian yang tinggi. Penglibatan kanak-kanak, remaja, dan ibu-ibu menjadi asas kepada perjuangan. Dengan hanya berbekalkan iman dan batu-batu jalanan mereka telah keluar untuk menghalau penjajah Zionis Israel. Inilah Intifadah yang pertama. Intifadah ini terus merebak hingga ke seluruh peringkat golongan masyarakat. Akibat daripada pengorbanan dan perjuangan intifadah yang pertama ini; perasaan keimanan di kalangan rakyat Palestin meningkat; mereka mula kembali kepada ajaran Islam. Akhirnya kesedaran itu telah memaksa Zionis merancang gencatan senjata melalui penipuan perjanjian OSLO 1993 yang di dalangi oleh Amerika. Berjaya Zionis apabila – Intifadah telah terhenti.
Perjuangan kembali marak apabila pada tahun 2000, Ariel Sharon telah memasuki Al-Aqsa bersama 3000 askar dan mengisytiharkan untuk mengambil Masjid Al-Aqsa secara perundangan dan atas fakta penipuan sejarah. Intifada yang kedua tercetus, tetapi kali ini pertempuran yang lebih hebat telah berlaku. Peperangan tidak hanya dengan batu, tetapi senjata, roket, peperangan terowong, bom-bom syahid dan pelbagai lagi.
Sidang Jumaat yang beriman,
Panggilan jihad tidak terhenti sekadar di Palestin tetapi telah merebak ke seluruh dunia di mana2 pelusuk dunia termasuk di Malaysia. Masyarakat dunia mengecam pencabulan/pencerobohan Zionis ke atas Al-Aqsa dan Palestin. Pertempuran semakin sengit. Sehingga dalam masa setahun sahaja,
Ø Lebih daripada 45000 Palestinian cedera parah; Lebih daripada 2100 syahid; Lebih daripada 560 kanak-kanak dan wanita syahid.
Pertempuran di antara rakyat Palestin dan penjajah Israel terus berlaku sehingga tahun 2005. Apabila pihak Israel, mengaku kalah, terpaksa mengundurkan diri dari GAZA. Pada tahun itu, 2005, mereka keluar dari GAZA dengan menangis dan membakar semua rumah-rumah dan pejabat-pejabat mereka. Pada tahun itu juga, Israel telah membina Tembok Kematian (جِدَر اَلْمَوْتُ) sepanjang 850km mengelilingi GAZA, setinggi 8 meter, ketebalan/kelebaran 30-100 meter.
Zionis kalah kepada perjuangan rakyat Palestin yang berani. Hari ini Regim Zionis Israel telah meningkatkan usaha jahat mereka menggunakan pengaruh mereka ke atas Amerika dan kuasa2 besar yang lain untuk mengadakan sekatan dan embargo. Bukan hanya Tembok Maut itu telah menjadikan GAZA “Penjara terbesar di dunia”. Tetapi Regim Zionis telah menafikan hak rakyat GAZA untuk hidup. Zionis telah menyekat segala bentuk bantuan kepada penduduk GAZA. Bermula dengan bantuan bahan2 makanan dan keperluan asas ekonomi sehinggalah keperluan perubatan dan kehidupan.
Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Sebagai seorang saudara wajib kita bantu mereka. Kasih sayang merupakan fitrah yang mesti dijelmakan dalam kehidupan . Hadith Rasul saw
مَنْ لَا يَرْحَمُ لَايُرْحَمُ
“Sesiapa yang tidak mengasihi, (Allah) tidak mengasihinya.” (Hadith Bukhari)
Dalam hadith yang lain,
لَايُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَايُحِبُّ لِنَفْسِهِ
“Tidak sempurna keimanan seseorang kamu sehinggalah dirinya menyintai saudaranya sebagaimana beliau menyintai dirinya sendiri” (HR Bukhari & Muslim)
Kasih sayang dengan saudara kita dikaitkan dengan sejauhmana kekuatan iman kita.
Kedengkian Regim Zionis Israel, bertambah-bertambah hebat apabila bermula pada tarikh 27 Dec 2008 – 18 Jan 2009 Israel telah melancarkan peperangan hebat ke atas GAZA; menggunakan senjata yang paling canggih; bom seberat 1.5 juta kilogram; pesawat-pesawat F16, Pesawat Pengebom B2, Helikopter Apache yang termoden; peluru-peluru uranium; bom fosforus yang diharamkan – turun seperti air hujan yang membakar kulit, masuk ke isi hingga ke tulang; bom-bom berangkai yang mengeluarkan bola-bola kecil kemudian meletup dan mengeluarkan pula pisau-pisau kecil memotong daging dari paras lutut ke bawah. Walaupun tentera Israel tidak berjaya memasuki GAZA tetapi mereka telah menghancurkan hampir keseluruhan infra struktur dan keperluan asas kehidupan di GAZA.
Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Sabda Rasul saw:
وَمَنْ لَمْ يَهْتَم بِأَمْرِ الْمُسْلِمِيْن فَلَيْسَ مِنْهُمْ
“Sesiapa yang tidak ambil berat terhadap saudara muslimin dia bukan daripada orang Islam.” (Muslim)
Dalam satu persidangan ulamak dunia, Prof. Dr. Yusuf Qardawi telah menfatwakan bahawa “hukum membantu umat Islam Palestin yang ditindas adalah wajib”. Bukan lagi sunat sunat dan sukarela. Setiap harta yang disumbangkan pada jalan Allah akan menjadi penyelamat kita daripada azab neraka yang terlalu pedih seksanya.
Maksudnya: "Wahai orang yang beriman! Mahukah aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, serta berjuang membela agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)." (Assaf: 10-11)
Ayyuhal Mukminin,
Hari ini, masyarakat dunia yang prihatin sedang dalam usaha untuk membantu saudara kita di Gaza. Mereka akan menghantar bantuan secara langsung ke GAZA melalui laut. Satu kempen “Konvoy Menerobos Tembok Kematian” sedang dilaksanakan di seluruh Malaysia. Usahasama ini adalah gerakkerja gabungan NGO-NGO antarabangsa dan Malaysia. Di Malaysia lebih daripada 20 NGO-NGO besar telah bersetuju berkerjasama di bawah koordinasi HALUAN Palestin. Pihak penganjur utama Konvoi, NGO IHH dan kerajaan Turki telah merayu melalui HALUAN Palestin untuk menggerakkan misi mengumpul dana ini. Projek ini amat penting kerana sekiranya ia berjaya maka akan terhapuslah sekatan Tembok Kematian oleh Israel itu. Konvoy pada kali ini akan bermula di Istanbul. Mereka akan bertolak melalui laut membawa masuk 20 buah kapal yang datang dari seluruh dunia termasuk Malaysia. Kapal-kapal itu dijangka akan berhadapan dengan kapal-kapal perang Israel dengan penuh keberanian... Insya Allah. Inilah bantuan yang kita mampu berikan maka marilah kita bersama menyumbang kerana sumbangan itu adalah wajib mengikut kemampuan kita...dan Allah Maha Mengetahui kemampuan kita!
KHUTBAH KEDUA
اِنَّ اَلْحَمْدُ لِلهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَهْدِيْهِ وَنَسْتغْفِرُهُ وَنَعُوْذُبِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيْئِاَتِ أَعْمَالِنَا, مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ, وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِي لَهُ , وَلَنْ تَجِدَلَهُ وَلِياًمُرْ شِدًا
اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه أجمعين. أما بعد.
Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian
Sabdan Rasul saw:
مَنْ جَهَّزَ غَازِيًا فِي سَبِيلِ اللهِ فَقَدْ غَزَا وَمَنْ خَلَفَ غَازِيًا فِي اَهْلِهِ بِخَيْرٍ فَقَدْ غَزَا
“Sesiapa yang membantu saudaranya untuk bertempur (kali ini dengan Israel) pada jalan Allah, maka baginya sama dengan mereka yang bertempur, Sesiapa yang membantu ahli keluarga orang yang bertempur itu dengan kebaikan maka baginya sama seperti orang yang bertempur” (Muslim)
Perumpamaan orang yang menginfak harta di jalan Allah adalah terlalu hebat. Lipatan sejarah Islam melalui peristiwa Isra Mikraj telah menunjukkan kepada kita kemuliaannya. Ketika Baginda diIsra’kan (perjalanan antara Masjid Haram- Masjid Aqsa, Palestin), Baginda telah diperlihatkan dengan satu kaum yang bercucuk tanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil baru pula keluar seolah2 belum dituai. Hal ini berulang2. Baginda diberitahu Jibrail itulah kaum yang berjihad pada jalan Allah digandakan sebanyak 700 kali ganda atau lebih drpd itu.
Kita ialah golongan orang yang beriman kepada Allah, dan Apakah kita tidak terasa terpanggil menjadi penolong-penolong agama Allah? Apakah kita tidak terpanggil oleh Allah dalam surah as Saf yang terakhir:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela agama Allah sebagaimana Nabi Isa Ibn Marym ketika ia berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: Siapakah penolong-penolongku kepada Allah? Mereka Menjawab: Kamilah pembela-pembela agama Allah! Setelah itu maka sekumpulan daripada kaum Bani Israel beriman dan sekumpulan lagi telah kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang beriman untuk mengalahkan musuhnya maka jadilah mereka orang-orang yang menang.”
(as Saff: 14)
DOA KAUM MUSLIMIN & DOA SULTAN NEGERI MASING-MASING







