Saudara-saudara Muslimin Sekalian!
Bayangkanlah seorang yang mendengar suara azan lima kali sehari dan merasakan bahawa sesuatu yang besar sedang dipersaksikan, dan bahawa kita semua diseru untuk menghadap Maharaja yang sangat perkasa dan berkuasa. Seorang yang setiap kali mendengar seruan ini meninggalkan semua pekerjaannya dan berlari menghadap Wujud yang Maha Agung tersebut, yang dipandangnya sebagai Junjungannya serta Junjungan seluruh alam semesta ini. Seorang yang setiap kali mahu mengerjakan salat mensucikan tubuh dan jiwanya dengan wudhu' dan mengerjakan perbuatan-perbuatan dalam salat dan membaca bacaan-bacaannya dengan penuh pengertian.
Bagaimana mungkin rasa takut kepada Allah tidak akan timbul dalam hatinya,
Bagaimana ia tidak merasa malu melanggar perintah-perintah Allah?
Bagaimana mungkin jiwanya tidak akan gementar setiap kali menghadap Allah, mengingat dosa-dosa dan kejahatan-kejahatan yang diperbuatnya?
Bagaimana mungkin seorang yang mengatakan patuh dan menghambakan diri kepada Allah, dan percaya bahawa Dia adalah penguasa hari pengadilan, dalam mengerjakan urusan dunianya ia berdusta,berlaku tidak jujur, merampas hak orang lain, menyuap dan menerima suap, memberi dan mengambil riba, merugikan dan menyakitkan hati sesama manusia, mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak senonoh dan bertentangan dengan hukum, sedang ia masih pergi menghadap Tuhan berulang-ulang, dengan membawa semua dosa-dosa ini dan tidak malu mengulang-ulangi pengakuannya bahawa ia adalah hambaNya yang setia dan patuh?
Duhai, bagaimana mungkin bahawa setelah mengucapkan pernyataan "hanya kepadaMu kami menyembah dan hanya kepadaMu kami mohon pertolongan", tiga puluh enam kali di hadapan Allah dengan penuh kesedaran, lalu pergi menyembah tuhan-tuhan lain di samping Allah dan mengulurkan tangan memohon pertolongan kepada mereka?
Apabila sekali anda telah membuat pelanggaran setelah membuat pernyataan itu, maka di saat anda menghadap Allah untuk kedua kalinya, hati nurani anda akan mencela dan marah, anda pasti akan merasa malu. Celaan itu akan lebih keras pada pelanggaran yang kedua, dan hati anda akan mengutuk anda dari dalam diri anda.
Bagaimana boleh terjadi bahawa di sepanjang hidup anda, anda terus menerus melakukan salat lima kali sehari, tetapi akhlak anda tetap bengkok, perbuatan-perbuatan anda tetap tidak benar, dan hidup anda tidak berubah secara mendasar?
Dengan alasan ini Allah menerangkan ciri salat yang benar, yakni, "Sesungguhnya solat itu mencegah manusia dari perbuatan yang keji dan dari kejahatan". Maka bila ada orang yang tidak terpengaruh oleh proses pembersihan, pembaharuan dan penyegaran yang demikian kerasnya, maka itu adalah kerana perangainya yang buruk, bukan kerana kesalahan salat itu. Bukan salah air dan sabun bila orang tidak mahu putih tetapi salah hitamnya jua.
Saudara-saudara!
Jadi ada kekurangan besar dalam salat anda. Dan kekurangan itu adalah bahawa anda tidak memahami apa yang anda baca dalam salat anda. Tetapi bila anda mahu menyediakan waktu sedikit sahaja, anda tentu akan boleh mengingati erti bacaan-bacaan dan doa-doa tersebut dalam bahasa yang anda fahami. Dan keuntungannya adalah anda akan memahami apa yang anda baca dalam salat anda itu.
No comments:
Post a Comment